Tujuan Penubuhan



Sekolah Berasrama Penuh (SBP) adalah merupakan salah satu daripada institusi penting dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penubuhannya sebagaimana dinyatakan menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) adalah bertujuan untuk menyediakan suasana persekolahan dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna bagi memupuk serta mengembangkan potensi murid yang cemerlang sebagai warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. DPK turut menyasarkan SBP sebagai wadah terbaik dalam menjana insan yang bukan sahaja mempunyai kecemerlangan ilmu, tetapi turut melibatkan aspek kemapanan sahsiah, kesejagatan kepimpinan dan kejituan patriotism bagi melahirkan ahli sains, teknokrat dan profesional yang dapat memenuhi aspirasi negara.

Setelah berdekad lamanya, tidak sebagaimana MRSM yang telah mempunyai gabungan alumninya menerusi ANSARA, atau gabungan sekolah-sekolah tinggi persendirian Cina (Dong Jiao Zong), namun didapati tidak terdapat suatu Gabungan atau wadah yang menyatukan kesemua Alumni-alumni SBP sebagai suatu entiti. Sebaliknya didapati setiap Alumni berkenaan didapati bergerak secara bersendirian dan hanya menguruskan isu-isu melibatkan ruang lingkup alumni masing-masing. Sedangkan, dewasa ini cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap Sekolah Berasrama Penuh didapati semakin kompleks dan rumit, samada dari aspek kepimpinan, infrastruktur dan infostruktur, kewangan, pembangunan dan perkembangan pelajar dan sebagainya.

Seiring dengan pepatah Melayu iaitu “Bulat air kerana pembetung, Bulat manusia kerana muafakat” dan dalam usaha untuk memastikan terdapat suatu wadah bagi semua alumni SBP menyalurkan segala isu, cabaran dan permasalahan berkait SBP dari perspektif alumni secara langsung kepada pembuat dasar, maka sudah tiba masanya Gabungan seumpama ini diwujud dan digerakkan secara aktif. Ini akan memberi suatu ruang kepada Gabungan untuk mengartikulasi, mengetengah, mempengaruhi dan terlibat dalam mengemukakan segala pandangan serta pendirian dalam segala aspek berkaitan dasar yang melingkari soal yang berkaitan dengan SBP.